Saya sependapat dengan teman saya (merangkap senior@abang@ustaz), Syaari Abd Rahman dalam tulisan terbaru beliau yang mencabar pemikir-pemikir muda khususnya mahasiswa agar lebih tekun meneliti Bajet 2010 berbanding silat politik yang dipencak dalam PAS belakangan ini.
Cabaran tersebut lebih gemar untuk saya panjangkan kepada perbahasan, kupasan dan analisa dasar dan polisi kenegaraan yang pastinya lebih mencabar (dan membosankan bagi sebahagian pihak). Saya tidak menyanggah bahawa wujud di kalangan aktivis mahasiswa yang sememangnya punyai "enlightened soul" untuk membahas dan mencermati isu-isu dasar negara. Namun, captivity yang berlegar di dalam ruang lingkup aktivisme dan idealisme mahasiswa mutakhir ini sedikit-sebanyak merencatkan proses pematangan cara fikir dan cara pandang mahasiswa masa kini.
Saya masih ingat, sekitar sebulan yang lalu, Solidariti Mahasiswa Malaysia menganjurkan Konvensyen Transformasi Malaysia di Pejabat SUK Kerajaan Negeri. 9 domain meliputi teras-teras utama kenegaraan dibentang dan dibahas. Sebuah wacana yang sangat bermanfaat. Apatah lagi dalam rangka mempersiapkan negarawan-negarawan unggul yang mampu mentadbir urus Malaysia dengan lebih baik satu masa nanti.
Namun, malangnya, bangkit sebahagian mahasiswa yang mempertikaikan wacana dan domain-domain yang dibentangkan. Andai asas pertikaian tersebut akademik dan ilmiah, saya sangat mengalu-alukan. Namun, sebahagiannya bangkit dengan lantang memaklumkan bahawa dia/beliau "bukan ahlinya" untuk berbicara soal domain-domain yang dibentangkan. Sadis sekali.
Mahasiswa perlu segera siapkan diri untuk memimpin dan mentadbir negara. Di Indonesia (pengalaman kecil saya di sana), mahasiswa dari kuliyah seni tidak betah berbicara soal kenaikan harga BBM (Bahan Bakar Minyak) dengan penuh keyakinan. Justeru, apa yang menghalang seorang siswa perubatan mengupas isu perundangan? Atau siswa undang-undang mengupas isu ekonomi?
Masanya semakin singkat. Andai kita tidak benar-benar berusaha untuk mendasari polisi-polisi kenegaraan, tiada harapan untuk kita saksikan agenda Transformasi Malaysia terlaksana.
Ayuh teman-teman. Asak minda dan usaha kita untuk berilmu dan berpengatuhan. Aktivis zaman ini bukan dinilai pada semangat dan kepetahan berbicara semata. Namun, daya intelektualisme yang dituntut!
Saya juga sedang berusaha. Pujian wajar diberikan kepada tenaga kerja Sekolah Pemikir Muda kerana menyedari akan kepentingan hal ini lantas merangka strategi jangka panjang untuk mengisi kelompangan yang ada.
Berani Berfikir
Read More




